Minggu, 09 Maret 2014

KRISTEN YANG SIAP

SIAP SEDIA MENYAMBUT TUHAN

Keb 6:12-16; 1Tes 4:12-17; Mat 25:1-13

“Lihatlah pengantin datang, pergilah dan temuilah dia.”

Bayangkan jika doktor mengatakan bahawa jangka hayat anda hanya tiga bulan sahaja lagi! Apa kiranya yang bermain-main di fikiran anda? Memang kita tidak dapat meramal apa kiranya fikiran orang-orang yang mendapat berita seperti itu, namun kita boleh meramal fikiran mereka untuk segera membuat wasiat. Mungkin yang lain lagi mahu memberi kata-kata nasihat dan arahan terakhir kepada keluarganya yang terdekat. Dan tentunya memang ada juga yang langsung ingat untuk membuat pengakuan, menyambut dan menerima sakramen pengurapan orang sakit serta berdoa dengan sungguh kepada Allah Bapa agar dapat lulus masuk di pintu syurga.
Di sinilah perumpamaan tentang gadis bijaksana dan yang bodoh itu mendapat tempatnya yang tepat. Bahawa kerajaan Allah itu bagaikan suatu pesta di mana sepuluh orang gadis tersebut membawa lampu pelita mereka untuk mengalu-alukan kedatangan pengantin lelaki sesuai dengan adat orang-orang di Palestina waktu itu.
Lima orang yang bijaksana membawa minyak yang lebih sedangkan yang lima orang lagi agak bodoh kerana tidak membawa minyak tambahan. Apabila sang pengantin tiba, lima gadis yang bodoh tersebut terpaksa bergegas pergi membeli minyak namun akhirnya mereka terlambat dan tidak dapat masuk ke dalam ruangan pesta perkahwinan tersebut.
Perumpamaan tersebut nampaknya sebagai suatu peringatan kepada mereka yang suka menangguh-nangguhkan masa sama ada dari segi rohani mahupun pekerjaan yang harus disempurnakan dengan segara. Yesus menegaskan bahawa sesiapa yang gagal menyahut panggilan Tuhan dan yang kurang bersiap sedia, akan mendapati diri mereka tidak mendapat berkat dari Tuhan.
Siap sedia dengan penuh pengharapan adalah permulaan kebijaksanaan. Maka hidup secara bijaksana adalah mengamalkan budaya hidup memandang jauh ke hadapan. Hidup bijaksana bererti mempunyai kesedaran tentang akhir hidup kita dan mempersiapkannya bukan pada saat-saat yang akhir. Lima orang gadis yang bijaksana itu selalu bersiap sedia. Sikap seperti itu adalah budaya mereka, suatu kebiasaan hidup dan merupakan sebahagian daripada perancangan kehidupan mereka yang bijaksana. Kita bagaimana…?
Bagaimanakah seharusnya kita membuat persiapan untuk menghadapi akhir hidup ini? Suatu hari ada seorang kaya yang sudah lanjut usia hidup bersendirian. Dia mula membuat persiapan hari kematiannya. Dia membeli satu tapak kuburan yang sangat strategik dengan pemandangan yang indah, dan hampir setiap hari melawat tempat di mana ia akan dikebumikan kelak.
Kemudian orang kaya tersebut membeli keranda yang sangat mahal: “Di sinilah saya akan bersemayam di suatu hari nanti” katanya. Beberapa bulan kemudian dia menulis surat wasiatnya. Setelah selesai menulis wasiatnya, dia memanggil sanak saudara dan handai taulannya yang terdekat untuk datang melawatnya. Sesudah menjamu selera di suatu restoran hotel yang terkemuka, orang kaya tersebut mula membagi-bagikan hadiah dan milik peribadinya kepada semua hadirin. Akhirnya dia membacakan surat wasiatnya. Sementara dia berbuat demikian, dia jatuh tersungkur kerana serangan jantung!
Memang orang tersebut telah membuat persiapan yang cukup bagus. Tetapi baik hanya untuk jasmaninya sahaja namun tidak ada satu pun yang dilakukannya untuk keselamatan jiwanya. Dalam kata lain, orang seperti ini sama seperti lima orang gadis yang bodoh itu.
Kristus berpesan pada kita untuk bijak dan sentiasa berjaga-jaga. Dia memperingatkan kita agar sentiasa membuat persiapan untuk menyambut kedatangan “Sang Pengantin”. “Kumpulkanlah bagimu harta di syurga” kata-Nya, “Di syurga ngengat dan karat tidak merosakkannya dan pencuri tidak membongkar serta mencurinya” (Mt 6:20). “Kekayaan” maksudnya ada segala kerja-kerja kita yang terpuji, kesetiaan kita terhadap pelayanan, tugas dan tanggungjawab kita terhadap sesama.
Di dalam perumpamaan-Nya tentang penghakiman terakhir (Lih Mt 26:31-46), Kristus menegaskan bahawa kita akan diadili bukan berapa wang yang kita simpan di dalam bank, gelaran Datuk, Tan Sri atau kedudukan kita yang tinggi di dunia ini walaupun penting, tetapi bagaimana kepedulianan kita terhadap keadilan, memberi bantuan terhadap sesama yang memerlukan makanan, pakaian, tempat tinggal, melawat orang sakit, orang yang kesepian. Dalam kata lain, berapa banyak kebaikan yang sudah kita curahkan kepada sesama kita yang memerlukan, ataukah tidak ada satupun yang kita lakukan…?
Oleh yang demikian, kita boleh berkesimpulan bahawa terdapat dua resipi penting bagaimana hidup bahagia sambil mempersiapkan akhir hayat kita di dunia ini:
1. Hidup sesuai dengan khotbah di bukit, di mana Yesus menyampaikan ucapan bahagia-Nya (Lih. Mt 5:1-12). Kita diminta untuk mengamalkan budaya hidup berbelas kasihan, bersikap adil, melakukan pelayanan-pelayanan ke arah perdamaian dan tanpa putus-putus berusaha melaksanakan kehendak Allah. Kita hendaknya sentiasa menjadi garam dan cahaya dunia di sekeliling kita (Lih. Mt 5:13-14).
2. Kita harus hidup selalu berpandukan hukum cinta kasih apa pun yang kita lakukan. Sebab ringkasan hukum cinta kasih ini adalah merupakan ringkasan terhadap ajaran-ajaran para nabi dan hukum itu sendiri.
Sama seperti gadis-gadis bijaksana yang sentiasa bersiap sedia itu, kita perlukan persiapan yang berterusan sepanjang hidup kita berlandaskan cinta kasih Yesus disempurnakan pelayanan kita yang penuh kasih terhadap sesama. Dan mudah-mudahan apabila tiba masanya, jangan sampai Tuhan berkata kepada kita: “Aku tidak mengenal kamu” (ay 12), seperti yang dialami oleh gadis-gadis yang bodoh itu. (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:
1. Apakah sebenarnya pesan yang mahu disampaikan Yesus di sebalik kata-kata-Nya ini: “Berjaga-jagalah, sebab kamu tidak tahu akan hari dan saatnya” (Mt 25:13)?
2. Menurut anda, bagaimanakah cara-cara yang terbaik untuk sentiasa berjaga-jaga agar sesuai dengan ajaran Yesus pada hari ini?

Tidak ada komentar:

Posting Komentar